Aidilfitri Wadah Kusyukuran

Tun Sakaran

Tun Sakaran

KOTA KINABALU: Aidilfitri merupakan kesempatan yang terbaik untuk menjalin ukhuwah dan silaturrahim antara rakyat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum, keturunan dan anutan agama.

Gunakan kesempatan pada hari yang mulia ini untuk saling bermaaf-maafan, menziarahi keluarga dan handai taulan serta bersedekah kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Demikian menurut Yang Dipertua, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah, Tun Sakaran Dandai ketika menyampaikan perutusan sempena menyambut hariraya 2015M/1436H.

Katanya hariraya adalah perayaan bagi kemenangan umat Islam menyempurnakan ibadat, maka raikanlah perayaan ibadat ini dengan kerja-kerja yang diredai oleh Allah S.W.T.

Menurut beliau selepas mengasah dan mengasuh jiwa, iaitu berpuasa selama sebulan, diharapkan setiap Muslim dapat kembali ke asal kejadiannya dan menemukan jati dirinya sebagaimana mereka baru dilahirkan serta kembali mengamalkan ajaran agama yang sebenar.

“Semoga Syawal tahun ini akan memberi makna dan kesan yang berterusan untuk menjadikan diri kita menjadi orang baik (soleh) mudah-mudahan kita akan berbahagia di dunia dan akhirat kelak.”

“Aidilfitri yang baru kita rayakan memberi ruang yang cukup luas untuk memperbaharui dan menyuntik semangat baru untuk sebuah kehidupan yang aman, bahagia dan ceria dalam sebuah keluarga dan masyarakat.”

Mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah itu juga mengajak umat Islam agar saling berlapang dada, menghulur tangan dan saling mengucapkan Minal a’idin wal fa izin, moga kita dapat menemukan jati diri dan bersama memperolehi keampunan, reda serta menikmati surgawi.

“Marilah di bulan Syawal al-Mubarak ini, kita bermula dengan memperbaharui keazaman, semangat suntik menyuntik kesedaran memperhebat dan memperbesarkan nilai-nilai iman, taqwa dalam diri, keluarga, masyrakat serta Negara.”

Sakaran juga berkata, walaupun Ramadhan sudah berlalu, namun matlamat puasa bagi membentuk dan meramaikan manusia bertaqwa, tidak terhenti di bulan Ramadhan sahaja, tetapi kesan tarbiah, latihan dan pengajaran darinya masih tetap sesuai diteruskan di bulan-bulan yang lain.

“Sebab itu ajaran Islam bukanlah suatu yang bersifat bermusim tetapi ianya ajaran yang sesuai di sepanjang hayat hingga hari kiamat.”

Seterusnya beliau menjelaskan umat Islam seharusnya sentiasa terbuka hati dan fikiran untuk menjadikan ajaran dan syariat Islam itu sebagai satu dasar dan panduan hidup dalam kehidupan sehari-harian.

“Kerana Islam itu merupakan sistem hidup yang syumul yang menjadi rahmat kepada manusia.”

Selain dari itu jelas Sakaran, bersempena hari baik bulan baik ini juga, umat Islam jangan lupa pengorbanan, darah, keringat dan air mata para pejuang pasukan keselamatan yang telah meletakkan suasana hidup kita dalam keadaan harmoni, aman dan damai.

“Perpaduan nasional perlu terus dibajai dan diperkukuhkan supaya semangat patriotisme dan kecintaan kita terhadap Malaysia terus menebal.”

“Kita juga jangan lupa insan-insan yang tidak bernasib baik dan berkemampuan, terutama anak-anak yatim, fakir miskin dan sebagainya, berikanlah sumbangan agar mereka dapat merayakan Hari Raya yang mulia ini.

“Kita juga bersimpati kepada saudara-saudara Islam kita di seluruh dunia yang terjebak dalam pergolakan, krisis dan peperangan dalam perjuangan mempertahanan tanah air yang mengorbankan banyak jiwa dan nyawa seperti Palestin, Syria, Iraq, Afganistan serta Negara yang dihimpit oleh belenggu kekejaman dan penindasan.”

Akhirnya beliau dan keluarga mengucapkan selamat menyambut hariraya kepada semua umat Islam di mana saja mereka berada.

Kongsikan artikel ini

PinIt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Top