Pendekatan Pembangunan Modal Insan menurut Islam

Pekerjaan dan Professionalisma: Pendekatan Pembangunan Modal Insan menurut Islam

Pendahuluan

“Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara ia melakukannya dengan tekun (memperbaiki) dan mempertingkatkannya”.
(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Pengurusan secara professional merupakan tuntutan dan sangat ditekankan dalam Islam. Hadis Rasulullah SAW di atas menekankan agar sesuatu pekerjaan itu dibuat dengan tekun, cekap dan berkualiti.

Pengurusan Sumber Manusia Secara Umum

Pengurusan secara professional merupakan asas yang amat penting dalam memastikan kelestarian tadbirurus yang baik dan tersusun dan sekaligus menjadi satu keutamaan dalam sesebuah organisasi.

Pengurusan merujuk kepada amalan, dasar dan sistem yang mempengaruhi tingkahlaku, sikap dan prestasi pekerja. Pengurusan secara professional adalah sebahagian daripada tuntutan dalam ajaran Islam.

Pengurusan Profesional

Dalam konteks Islam, pengurusan secara professional mementingkan pengurusan secara adil, jujur, telus, berintegriti dan bertanggungjawab. Pengurusan secara professional menurut perspektif Islam sebagai satu proses melakukan dan menyempurnakan amanah dan tanggungjawab melalui fungsi-fungsi pengurusan secara fitrah.

Ajaran Islam melarang umatnya melakukan pekerjaan yang sia-sia yang tidak membawa faedah kepada diri, masyarakat dan negara. Justeru, pengurusan professional dalam konteks Islam mempunyai ciri-ciri seperti berikut: Kejujuran, keadilan dan kesaksamaan, Ihsan dan Jihad, kerjasama dan demokrasi, bekerja secara berkumpulan, penilaian prestasi dan pemberian upah yang adil.

Kejujuran

Dalam setiap jenis pekerjaan yang dilakukan, kejujuran merupakan prasyarat yang perlu diberi keutamaan oleh setiap anggota dalam organisasi. Kejujuran yang dimaksudkan dalam perburuhan Islam ini adalah pengamalan dan pelaksanaan etika kejujuran dalam pekerjaan.

Pengurus atau majikan dan pekerja haruslah mempunyai sikap jujur di dalam diri mereka sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya kejujuran itu menghantarkan kepada kebaikan dan kebaikan itu menghantarkan ke syurga. Sesungguhnya seseorang yang sentiasa berkata jujur hingga dia disebut sebagai “shiddiq” dan sesungguhnya dusta itu menghantarkan pada kejahatan dan kejahatan itu menghantarkan ke neraka. Sesungguhnya seseorang yang sentiasa berdusta dia akan dituliskan di sisi Allah SWT sebagai “kazdzab” (sang pendusta)”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Di antara tanda-tanda seseorang itu baik Islamnya ialah apabila meninggalkan kerja-kerja yang tidak mendatangkan faedah”.
(Hadis Riwayat Sahih Bukhari)

Allah SWT menegaskan dalam surah An-Nahl yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik apa yang telah mereka kerjakan.”
(Surah An-Nahl: 97)

Sesungguhnya pekerjaan yang dilakukan merupakan ibadah dan hendaklah dilakukan secara professional tanpa ada rasa prejudis terhadap perbezaan jantina dan mendatangkan keberhasilan yang maksimum.

Keadilan dan Kesaksamaan

Pengurusan secara professional dalam konteks perburuhan Islam yang kedua pula adalah keadilan dan kesaksamaan.

Dalam hal ini apa juga jenis tugasan dan pekerjaan yang dilakukan hendaklah mengambil kira hal-hal berkaitan kebajikan pekerja walaupun mereka adalah terdiri daripada golongan pekerja bawahan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah SWT sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibubapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah SWT lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Jika kamu memutarbelitkan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.
(Surah An-Nisa: 135)

Pihak majikan perlu berlaku adil dan menegakkan kebenaran meskipun anggota organisasi yang terlibat dengan salahlaku tersebut terdiri daripada ahli anggota keluarga majikan itu sendiri. Perburuhan Islam melarang pekerja yang suka mengambil hati majikan dengan tujuan untuk mendapat pujian dan sanjungan.

Menurut Ibn Qayyim, seorang tokoh Islam yang mahsyur menegaskan, bahawa keadilan merupakan teras semua aspek dalam kehidupan serta menjadi objektif dan matlamat utama Syariah.

Ihsan dan Jihad

Pengurusan secara professional dalam konteks Islam yang seterusnya adalah ihsan (baik) dan jihad (bersungguh-sungguh). Sikap berlaku adil diumpamakan dalam pekerjaan sebagai saluran keselamatan modal manakala ihsan atau berbuat baik sebagai asas kemenangan dan penerimaan kebahagiaan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mencintai jika seseorang melakukan suatu pekerjaan hendaknya dilakukannya secara itqon (profesional)”
(Hadis Riwayat Baihaqi dari Siti Aisyah ra).

Dalam konteks Islam juga, pengurusan ini memperlihatkan bahawa pengurusan yang professional akan mengambil kira aspek keinsanan seperti kejujuran, adil, amanah dan mentaati arahan dan menjauhi larangan Allah SWT tanpa sebarang kompromi.

Pada masa kini, umumnya segelintir pihak pengurusan menawarkan pekerjaan kepada seseorang individu dipengaruhi oleh hubungan kekeluargaan dan persahabatan. Rasulullah SAW pernah bertanya tentang ihsan kepada malaikat Jibril, dan Jibril menyatakan bahawa;

“… engkau beribadah seolah-olah engkau melihat Allah, dan jika engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah melihatmu”.

Kerjasama dan Demokrasi

Dari konteks Islam, sebarang keputusan dan tindakan secara musywarah (syura) sangat penting dan menjadi keutamaan. Untuk mencapai kecemerlangan pengurusan secara profession hendaklah menekankan elemen-elemen saling bekerjasama dalam meningkatkan produktiviti, kemahiran dan kepakaran dalam usaha menyelesaikan sesuatu kerja atau mencapai sesuatu matlamat dalam organisasi.

Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran yang bermaksud:

“bertolonglah antara kamu dalam berbuat kebaikan dan takwa dan jangan bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan aniaya dan takutkanlah kepada Allah SWT”
(Surah al-Maa-idah:2)

Bekerja secara Berkumpulan

Kerja berpasukan bermaksud kerjasama antara pengurus ataupun ketua jabatan yang bertanggungjawab merancang dan kakitangan yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Bekerja secara berkumpulan adalah lebih efisien dalam pengurusan secara professional. Ianya turut dijelaskan dalam sesebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“… tidak mungkin seseorang binasa sesudah bermesyuarat…”

Penilaian Prestasi dan Pemberian Upah/Faedah

Penilaian prestasi merupakan kaedah formal dalam mengkaji dan menilai semula prestasi kerja seseorang yang memainkan peranan penting dalam pengurusan sumber manusia. Hal ini kerana, Islam sangat menitikberatkan soal upah dan faedah yang diperolehi oleh setiap individu agar tidak wujud pemerasan serta penindasan terhadap pekerja bawahan. Rasulullah SAW bersabda dalam riwayat Ibn Majah:

“Jelaskanlah upah pekerja itu sebelum kering peluh mereka.”
(Riwayat Ibn Majah)

Justeru, penilaian prestasi dan pemberian upah serta faedah juga memainkan peranan penting dalam melistarikan pengurusan sumber manusia. Ini kerana penilaian prestasi merupakan kaedah formal dalam mengkaji dan menilai semula prestasi kerja seseorang individu. Menurut perspektif Islam, penilaian prestasi yang dilakukan oleh majikan terhadap pekerja mestilah ikhlas, jujur dan telus yang dilakukan melalui majlis syura atau mesyuarat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu meminta pandangan (bersyura) dari cerdik pandai nescaya kamu akan mendapat petunjuk dan jangan kamu mengingkarinya, nescaya kamu menyesal”.
(Hadis Riwayat Al-Khatib)

Etika Pekerjaan Dalam Konteks Islam

Etika adalah sebagai prinsip-prinsip bertingkah laku yang mengawal individu atau profesion dan sebagai satu standard tingkah laku. Tingkah laku beretika pula bermaksud bertindak dengan cara yang konsisten dengan apa yang individu dan masyarakat fikirkan adalah nilai-nilai baik.Tanpa disiplin diri dan kekuatan mental seseorang itu tidak dapat mencapai tahap etika yang dikehendaki.

Prinsip Asas Pengurusan Dalam Perspektif Islam

Pengurusan dalam perspektif Islam adalah berasaskan paradigma tauhid berasaskan amanah, syura dan adil. Sifat amanah adalah wajib dalam mana-mana pengurusan kerana ianya wajib dipelihara dan ditunaikan kepada dirinya serta ahlinya. Hal ini kerana, sifat amanah akan melahirkan sifat-sifat terpuji lain yang membawa kepada sifat ikhlas, jujur dan bekerja mencari keredhaan Allah SWT. Penetapan tugas setiap pekerja perlulah bersesuaian dengan tahap pengetahuan, kemahiran dan kebolehan yang dimiliki oleh pekerja. Hal ini berdasarkan sabda Rasullulah SAW yang bermaksud:

“Apabila diserahkan sesuatu urusan kepada bukan ahlinya tunggulah masa keruntuhannya ”.
(Hadis Riwayat Baihaqi dari Siti Aisyah ra.)

Justeru, agihan tugas perlulah mengikut kesesuaian dengan kemampuan serta kepakaran.

Objektif umum dalam konteks pengurusan Islam seharusnya tidak lari daripada matlamat umum syari’ah Islamiah, antaranya ialah menjaga keselamatan agama, menjaga keselamatan maruah, dan menjaga keselamatan harta.

Dalam hal ini hak kebebasan bersuara antara perkara yang ditekankan dalam Islam selagi tidak melanggar hukum syariat yang telah digariskan dalam Islam. Penilaian prestasi dalam Islam sewajarnya dijadikan sebagai satu amalan dan seharusnya majikan perlu sentiasa bersikap terbuka dan transparen dalam semua hal.

Kesimpulannya, pekerjaan dan profesionalisma menurut konteks Islam adalah satu ikatan suci dan mulia antara majikan dan pekerja yang melibatkan prinsip-prinsip moral seperti kejujuran dan keadilan. Tidak dinafikan pendekatan yang terbaik, syumul, holistik dan komprehensif dalam mengurus sesebuah organisasi adalah pengamalan konsep-konsep dan pendekatan Islam.

Kaedah dan pendekatan pengurusan mengikut Islam bukan sahaja mampu memelihara kesejahteraan anggota dalam organisasi tetapi juga menjaga kesejahteraan kehidupan manusia dunia dan akhirat.

Kongsikan artikel ini

PinIt

About Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansor

Universiti Malaysia Sabah Merangkap Ahli Majlis Tertinggi USIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Top