USIA tegakkan syiar Islam di Sabah

ARKIB : 01/02/2006
USIA tegakkan syiar Islam di Sabah
Oleh ZALINA YAHAYA

Bangunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di jalan Sembulan, Kota Kinabalu.

Bangunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di jalan Sembulan, Kota Kinabalu.

MERENUNG sejarah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah atau United Sabah Islamic Association (USIA), kita tidak dapat lari daripada membuat kesimpulan bahawa ia bukan semata-mata sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan agama, tetapi adalah sebuah institusi besar yang begitu berjasa menegakkan syiar Islam di Sabah.

Menyelusuri sejarah perjuangan sehingga terbentuknya USIA, kita akan faham kenapa badan itu begitu berpengaruh di negeri Sabah terutama ketika tahun-tahun awal penubuhannya dahulu.

Tidak keterlaluan juga dikatakan kewujudan USIA berjaya menukar sejarah Sabah dari segi usaha menambahkan bilangan penganut agama Islam sehingga menjadi golongan majoriti dan seterusnya membawa kepada pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi di Sabah.

Segala-galanya, menurut Setiausaha Agung USIA, Datuk Dahli Mohd. Elias, bermula sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an.

Ketika itu beberapa persatuan Islam ditubuhkan di Sabah. Antaranya Persatuan Islam Putatan yang dipimpin oleh Imam Ahmad Mus Ismail dan Persatuan Islam Sabah yang diketuai oleh Yusof Shamsuddin.

“Kedua-dua persatuan ini telah menjemput pemimpin USNO ketika itu iaitu Tun Datu Mustapha Datu Harun untuk menggabungkan persatuan-persatuan Islam yang wujud di Borneo Utara.

“Rancangan itu, bagaimanapun, tergendala kerana ketika itu perundingan penubuhan Malaysia sedang berjalan rancak dan Datu Mustapha sendiri terlibat secara aktif,” katanya.

Setelah Datu Mustapha menjadi Ketua Menteri Sabah, usaha yang tergendala itu disambung semula pada awal tahun 1968. Pertemuan awal tiga persatuan Islam iaitu Persatuan Islam Tawau, Putatan dan Sabah pada 1968 membawa kepada penganjuran satu kongres pada 16 Ogos 1969.

Kongres dua hari itulah yang membawa kepada persetujuan menggabungkan ketiga-tiga persatuan itu di bawah USIA dengan Datu Mustapha sebagai Yang Dipertuanya yang pertama. Daripada tujuan asal penubuhan untuk menyatukan persatuan-persatuan Islam yang terdapat di negeri itu, USIA kemudian bertukar peranan menjadi satu-satunya badan yang bertanggungjawab menjadikan Islam sebagai agama rasmi di Sabah.

“Ketika itu agama Islam bukan agama rasmi negeri ini kerana bilangan penganut agama Islam di Sabah ketika itu tidak mencapai angka majoriti.

“Di sini letaknya peranan USIA. Usaha pendakwahan dilakukan secara besar-besaran. Hasilnya, antara tahun 1970 hingga 1976, seramai 84,075 orang telah diislamkan oleh USIA,” katanya.

Ketika itu, kata Dahli, USIA berada di kemuncak terutama dari segi aktiviti pengislaman saudara-saudara baru.

“Ketika itu dalam setiap upacara pengislaman yang USIA anjurkan, ia melibatkan beratus-ratus orang… macam zaman Amir Hamzah dulu,” jelasnya.

Pada tahun pertama pelancarannya, 19 buah bahagian ditubuhkan dan tiga tahun kemudian, atas kegigihan Datu Mustapha, bangunan USIA siap dibina di Kota Kinabalu.

“Lebih membanggakan, ia adalah bangunan pertama milik NGO di negeri ini,” jelasnya. USIA, bagaimanapun, tidak hanya boleh berbangga dengan sejarah silamnya, kerana apa yang dicapai badan itu kini adalah hasil usaha berterusan USIA dalam memegang amanah penubuhannya demi perjuangan meningkatkan dan memperkukuhkan syiar Islam di Sabah.

Walaupun kini peranan USIA banyak diambil alih Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAIS), USIA terus kekal sebagai badan berpengaruh dan dihormati masyarakat Islam di negeri itu.

Malah kata Dahli, usaha-usaha pengislaman saudara-saudara baru tetap menjadi agenda USIA walaupun peranan itu kini telah diambil alih oleh MUIS sejak 1977. Tidak dinafikan selepas zaman kegemilangannya pada 1976, bilangan saudara baru yang berjaya diislamkan oleh USIA berkurangan.

“Antara sebab utamanya ialah MUIS telah mengambil alih urusan pendaftaran saudara-saudara baru. Selain itu, sebagai sebuah NGO, kami kekurangan sumber kewangan untuk menjelajah ke kawasan pedalaman yang terdapat ramai orang bukan Islam.

“Selain itu semenjak 1985 sehingga hari ini, gerakan dakwah Kristian bergerak sama lancarnya, termasuklah usaha mengkristiankan semula saudara-saudara baru,” katanya.

Menurut Dahli, kekurangan sumber kewangan dan statusnya sebagai NGO tidak menjadikan USIA bersikap lepas tangan terutama dalam isu yang melibatkan soal memastikan saudara-saudara baru sentiasa dibela dan diberi perhatian.

Program-program berterusan sentiasa dilakukan untuk mendekatkan saudara-saudara baru bagi memastikan mereka tidak kembali kepada agama asal.

“Antara program-program yang dijalankan ialah ceramah agama, usrah, khidmat kaunseling, kursus-kursus fardu ain dan kifayah.

“Dan yang penting ialah kita sentiasa mendekatkan diri dengan saudara-saudara baru ini,” katanya.

Berkembang pesat

Semua aktiviti itu dilakukan menerusi cawangan dan bahagian-bahagiannya yang terus berkembang pesat di seluruh pelosok Negeri Di Bawah Bayu itu.

USIA kini mempunyai 23 bahagian dan 601 cawangan dengan 68,631 ahli.

Bahagian yang mempunyai cawangan dan keahlian teramai ialah Semporna yang diketuai Tun Sakaran Dandai dengan 116 buah cawangan dan 7,600 ahli.

Menurut Dahli, berteraskan objektif penubuhannya USIA kini beroperasi menerusi cawangan dan bahagiannya menubuhkan tadika-tadika untuk kanak-kanak Islam di Sabah.

“Kita di USIA juga terus memainkan peranan untuk menyebarkan konsep Islam Hadhari seperti yang diimpikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Kami menyokong penuh konsep ini. Sebenarnya apa yang diperjuangkan dan menjadi amalan USIA selama ini juga adalah selari dengan kehendak Islam Hadhari,” jelas Dahli.

Aktiviti-aktiviti berterusan USIA mendapat pengiktirafan pemimpin-pemimpin agama lain. USIA sentiasa dijadikan bahan rujukan pemimpin agama lain yang ingin memahami Islam secara menyeluruh.

“Selepas kejadian serangan pengganas 11 September 2002, umpamanya, kami di USIA menerima lawatan daripada pemimpin-pemimpin agama termasuk dari Rom, Itali yang mahu mendapat persepsi yang betul mengenai Islam,” katanya.

Sebagai sebuah NGO, USIA juga tidak lepas daripada berhadapan dengan masalah kewangan. Walaupun mendapat sedikit peruntukan daripada kerajaan negeri dan Pusat, USIA masih perlu berusaha sendiri memastikan sumber kewangannya terjamin bagi meneruskan aktiviti-aktiviti murninya.

Justeru, pelbagai usaha sedang dilakukan untuk memastikan USIA tidak sekadar bergantung kepada bantuan kerajaan. Antara bidang ekonomi yang diceburi USIA ialah projek usaha sama pertanian dengan Lembaga Tabung Haji di Sandakan.

“Ia melibatkan perladangan kayu jati seluas empat hektar yang dimulakan pada 2000. Selain itu USIA juga melibatkan diri dalam sektor hartanah komersial di Lahad Datu membabitkan pembinaan bangunan lima tingkat,” katanya.

Satu lagi sektor ekonomi yang boleh dibanggakan oleh USIA sebagai sebuah NGO Islam ialah projek pembinaan bangunan pejabat di One Borneo bernilai RM20 juta yang dijangka siap dalam masa terdekat ini.

Walaupun peranannya mungkin tidak segagah dan sehebat ketika awal penubuhannya dahulu, USIA sehingga kini tidak pernah berhenti berjuang untuk terus memastikan Islam terus kukuh di Sabah.

Dahli menegaskan, USIA akan meneruskan perjuangannya untuk memantapkan kedudukan ekonomi dan sosial umat Islam di Sabah.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3sOzbqgHd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kongsikan artikel ini

PinIt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Top